Sunday, February 21, 2010

Nasihat Al-Ghazali: Aktiviti Harian

Diantara kira-kira 100 buah buku karangan Imam Al-Ghazali Hujjatul-Islam, terdapat sebuah buku yang berjudul Bidayatul Hidayah(Permulaan Jalan Hidayah). Melalui buku ini Imam Al-Ghazali menerangkan amalan-amalan atau apakah aktiviti harian yang patut dibuat oleh setiap umat Islam, pada setiap hari dan malam, sepanjang hidupnya. Mengikut Imam Al-Ghazali, inilah satu panduan atau jadual hidup harian yang lengkap, yang patut diamalkan oleh setiap orang islam. Berikut ini disalinkan nasihat Imam Al-Ghazali mengenai aktiviti yang patut dibuat pada waktu pagi, selepas solat sunat Dhuha, hingga menjelang waktu gelincir matahari, iaitu masuknya waktu untuk solat fardhu Zuhur.

Ada empat perkara yang boleh dibuat, kata Imam Al-Ghazali.

Pertama, yang terlebih afdal, bahawa engkau habiskan waktumu itu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia-sia yang sangat diminati orang sekarang ini, yang mereka namakannya ilmu manfaat (padahal ia bukan ilmu yang bermanfaat). Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menambah takut dirimu kepada Allah, dan menambah penglihatanmu terhadap 'aib dirimu, dan menambah makrifatmu dalam engkau beribadat kepada tuhan, dan menyedikitkan kegemaranmu terhadap dunia, dan menambah kegemaranmu terhadap akhirat, dan membukakan pintu hatimu untuk mengenali bermacam-macam penyakit amalanmu sehingga engkau dapat menjauhinya.

Dan ilmu yang manfaat itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga engkau arif dengan kehalusan penipuan syaitan ketika ia menggoda dan berjaya menjadikan mereka sebagai sasaran kemurkaan Allah, kerana mereka membeli dunia dengan agama dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta wakaf, harta anak yatim, harta orang miskin dan harta orang islam. Disepanjang hari mereka hanya mengabiskan masa untuk mencari pangkat dan kedudukan di hati mnausia. Untuk itu mereka sanggup menunjukkan segala kebolehan di hadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka dalam berbahas dan berbincang.....

Apabila engkau telah mencuba mengamalkan wirid-wirid dan ibadat(yang telah kami sebutkan) dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan sebarang keberatan dan tidak merasa malas melaksanakannya, bahkan nampak pada dirimu minat yang sangat mendorongengkau untuk mencari lagi ilmu yang manfaat, dan engkau tidak menghendaki dengan mencari ilmu itu kecuali dengan keredhaan Allah dan akhirat, maka menuntut ilmu ketika itu lebih afdal daripada ibadat-ibadat sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan niai amalanmu). Apabila niatmu tidak ikhlas maka di sinilah tempat terpedayanya orang-orang yang jahil dan di sini pula tempat tergelincirnya kaki orang-orang yang cerdik pandai.

Kedua, bahawa engkau tidak berkuasa menghasilkan ilmu yang bermanfaat tetapi engkau kuasa berbuat ibadat seperti berzikir, membaca al-Quran, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah darjat orang yang 'abid dan cara hidup orang yang soleh. Dengan cara ini juga engkau dapat tergolong di dalm kumpulan orang yang beruntung

Ketiga, bahawa engkau membuat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikkan kepada orang-orang islam dan dapat mengembirakan hati orang-orang yang beriman, atau engkau menolong orang yang soleh di dalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada para ulama dan ahli sufi dan ahli-ahli agama dan berulang-alik dalam menunaikan hajat mereka, atau usaha untuk memberi makanan kepada fakir miskin, atau menziarahi orang sakit, atau menghantar jenazah, maka semua ini adalah lebih afdal daripada semata-mata ibadat sunat sahaja, kerana amalan seperti ini selain sebagai satu ibadat ia juga merupakan pertolongan kepada orang lain.

Keempat, jikalau engkau tidak dapat membuat salah satu daripada tiga perkara tersebut, maka berusahalah untuk menunaikan hajatmu sendiri dan mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu, sedangkan orang ramai selamat daripada sebarang gangguanmu, dan mereka juga selamat daripada bahaya lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu apabila engkau tidak terlibat dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu engkau akan dapat mencapai darjat Ash-habul Yamin, sekiranya engkau tidak dapat mencapai darjat As-Sabiqin.

(Imam Al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, (terj. Abu ALi Al-Banjari An-Nadwi)

No comments:

Post a Comment