Wednesday, February 17, 2010

Suatu Ibarat Sayidina Isa Al-Masih : -Kasih Sayang Ayah Yang Sejati Bagi Anaknya.

(Kitab Suci Injil, Lukas Fasal 15 ayat 11 - 24)

Ada seorang yang berladang
Anaknya pun dua orang,
Sedikit pun tiada kurang
Makan seharian pun senang.

Tetapi anaknya yang bongsu ini,
Mahu merantau ke luar negeri;
Lalu minta Bapanya memberi
Hartanya yang akan diwarisi.

Setelah harta dibahagikan,
Anak bongsu mahu berjalan.
Hartanya itu ia kemaskan
Hendak mencari kesukaan.

Ke negeri jauh dia telah pergi
Jangan Bapanya mengetahui
Sahaja mahu menyukakan diri,
Dengan kelakuan serba-serbi!

Hartanya habis dibelanjakan,
Dengan semuanya kawan-kawan.
Baru jadilah kelaparan
Lalu dia merasai kekurangan!

Duitnya pun tiada lagi
Kawannya pun tiada peduli;
Dia carilah kerja dalam negeri -
Rezeki pun mana mahu dicari?

Dia meminta kerja sekarang
Kepada segala orang berladang,
Dapat sahaja sekam kacang;
Yang dimakan oleh binatang!

Dalam kesusahannya ini,
Menyesallah dia akan diri!
Sekarang baru susah hati
Rasanya pun separuh mati!

Dia berfikir dalam diri,
Apakah guna demikian peri?
Di rumah Bapa orang gaji
Semuanya dapat cukup roti.

"Tetapi di sini aku binasa;
Betapa susah aku merasa!
Aku hendak pulang ke sana
Pulang kembali kepada Bapa!"

"Lalu aku hendak berkata:
'Sungguhlah aku sudah berdosa,
Aku mahu kerja kepada Bapa;
Sama seperti seorang hamba.'"

Lalu dia berangkat pergi,
Beberapa bukit ia mendaki,
Tetapi, sedang dari jauh lagi
Bapanya lihat, lalu berlari.

Bapanya itu sungguh berkasihan;
Tiada dia ingat kesalahan.
Memeluk leher tiada segan
Menyambut si anak dengan tangisan!

Kata anaknya kepadanya:
'Ya Bapa, aku sudah berdosa!
Tiada patut aku diterima,
Akan menjadi anak Bapa..'

Bapa itu menyuruh hamba;
'Bawa pakaian yang teristimewa';
Lalu disuruh membuat pesta,
Biar semua umat bersuka-ria!

Katanya: 'Anakku sudah mati,
Sekarang baru kidup kembali;
Sudah hilang anakku ini,
Sekarang sudah di dapati!
'

Demikianlah segala Malaikat
Bersukacita terlalu sangat.
Jikalau ada orang yang jahat,
Hendak kembali dengan bertaubat!

Ibarat sepenuhnya anda dapat bacakan dari Kitab Injil, nas Lukas 15:11-24. Inilah caranya sayidina Isa a.s. telah mengumpamakan hakikat kasih dan sayang Tuhan Allah yang asli, lagi yang tulen dan sejati.

Seorang saudara bumiputera Melayu telah mengungkapkan ibarat Sayidina Isa ini dengan begitu indah sekali dalam bentuk Pantun empat kerat di atas, sebagai kesaksiannya kepada Firman dan Kalimatullah yang hidup itu - Sayidina Isa al-Masih. Baginda telah mengajari dengan tepatnya tentang kebenaran apakah kasih sayang Allah s.w.t. yang tidak terbatas lagi tidak bersyarat itu.

No comments:

Post a Comment